Gara-gara merotan dan mengugut untuk membunuh dan menyimbah asid terhadap isterinya, seorang bapa empat anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.

Tertuduh Mohd Saliheen Bakar, 35 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dihadapan hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya berusia 32 tahun dengan cara merotan menggunakan sebatang rotan sepanjang semeter.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326a kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Berdasarkan pertuduhan kedua, tertuduh yang juga seorang penganggur itu didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa sama dengan cara mengugut untuk membunuh dan menyimbah asid.



Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di dalam bilik tidur di sebuah rumah di kampung padang temu, Melaka sekitar 2 pagi, 17 November 2019 lalu.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim, mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin iaitu isterinya manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah berkenaan dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain tidak mendekati mangsa.

13 Januari depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.