Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos ditahan pada jam 9 malam tadi di IPD Ampang Jaya di bawah Seksyen 105 Kanun Keseksaan berkaitan perhimpunan di Petaling Street esok.

Dalam satu kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad, Jamal ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan.

Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah ini memberi kuasa penuh kepada polis untuk menangkap dan menahan sesiapa sahaja yang terlibat bagi mencegah jenayah daripada berlaku.

Sementara itu, Presiden Persatuan Veteran Tentera (PVTM), Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju berkata, himpunan di Petaling Street yang dijadualkan berlangsung esok telah dibatalkan atas nasihat pihak berkuasa.

Memetik laporan Malaysian Insider, Ali berkata pihaknya ingin memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk bertindak balas atas permintaan supaya lebih ramai peniaga Melayu dibenarkan menjalankan perniagaan di kawasan itu.

“Selepas dinasihatkan pihak berkuasa, kami membatalkan hasrat untuk berhimpun agar mereka (pihak berkuasa) dapat menyelesaikan masalah di Petaling Street,” katanya dalam laporan Malaysian Insider itu.