Penganut Hindu di sini akan turut sama memeriahkan sambutan Thaipusam pada Ahad ini, iaitu perayaan tanda kesyukuran dan menebus dosa, yang disusun sejajar dengan konsep 1Malaysia, di Kuil Sri Subramaniam, KM22 Jalan Penampang-Papar di Lok Kawi.

Presiden Pengurusan Kuil Sri Subramaniam Jayakumar Muniandy berkata antara elemen baharu 1Malaysia yang digabungkan ke dalam perayaan itu adalah persembahan kumpulan muzik dari Kuala Lumpur dan Pahang.

Beliau berkata perayaan itu turut menampilkan pembawa 'Kavadi', termasuk tiga orang berdarah campuran India-Kadazandusun dalam perarakan dari tebingan Meruntum ke kuil berkenaan di Lok Kawi.

"Kami memutuskan untuk memberi nilai tambah kepada program samutan Thaipusam tahun ini, sejajar dengan semangat konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

"Kebanyakan pembawa 'kavadi' berpuasa 30 sebelum itu," katanya, dan menambah lebih 1,000 orang dijangka menghadiri sambutan berkenaan.

Thaipusam dirayakan penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan 'Thai' dalam kalendar Tamil, bulan penuh melintasi bintang terang, yang lazimnya jatuh pada Januari atau Februari, katanya.