JOHOR BAHRU: Seorang pengasuh sebuah taska swasta mengaku bersalah atas dua pertuduhan bertindak cuai sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap dua orang bayi, Mac lalu.

Pengakuan itu dibuat, Nurul Shahira A'Shiqin Sulaiman, 28, di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 2 Ogos nanti untuk semakan fakta dan hukuman.

Berdasarkan dua pertuduhan itu, wanita yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dan seorang bayi lelaki sembilan bulan, didakwa bertindak cuai dengan cara mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Mutiara Rini, Johor Bahru, kira-kira jam 1 tengah hari, Mac lalu.

Bagi dua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi kes.