Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyambut baik keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang mahu mengekalkan Akta Hasutan 1948.

Namun, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berharap agar Najib benar-benar melaksanakan apa yang diucap bukan retorik semata-mata.

Katanya, Akta Hasutan sepatutnya diperkuatkan dengan memasukkan semangat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) iaitu tahanan tanpa bicara.

Namun Ibrahim menjelaskan kuasa menahan tanpa bicara itu bukan terletak dibawah Menteri Dalam Negeri supaya pihak keselamatan mempunyai instrumen yang berkesan untuk menangani isu keselamatan negara dengan lebih berkesan.

"Selain itu memasukan juga Bahagian 3, Perkara 152, 153, 181, Perkara 3, Perkara 8(4)(C), Perkara 8(4)(f) Perkara 11(4) Perkara 12, Perkara 121(1A) dan/ atau Jadual 9 Senarai 11 Perlembagaan Persekutuan dan lain-lain dengan meminda Seksyen 114(g) Akta Keterangan dimana mahkamah boleh membuat andaian/ rumusan bahawa adalah satu perbuatan menghasut jika menyentuh Perkara 2 yang tersenarai di atas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, hukuman juga hendaklah dipinda dibawah Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan dengan hukuman mandatori dua rotan, tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 25 tahun penjara.

"Ikut tauladan hukuman yang dibuat oleh Thailand jika menghina Raja-Raja Melayu," katanya lagi.

Presiden UMNO dalam ucapan dasarnya awal hari ini mengumumkan akan mengekalkan Akta Hasutan 1948 seiring dengan desakan tiga sayap parti itu dalam persidangan mereka semalam.

Selain itu, Najib juga berkata keputusan untuk mengekalkan akta hasutan dibuat selepas dipertimbangkan dan mendapat nasihat semua pihak.