SEPANG: Pengeluaran jagung bijian tempatan berskala besar dijangka membantu menstabilkan harga produk asas seperti ayam dan telur, susulan kebergantungan negara ketika ini terhadap import bahan makanan haiwan ternakan itu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Malaysia ketika ini mengimport kira-kira 2.5 juta tan jagung bijian setahun dengan nilai sekitar RM3 bilion dari negara seperti Argentina dan Brazil.
Jelasnya, kerajaan menyasarkan pengeluaran jagung bijian tempatan ini mampu menampung kira-kira 30 peratus keperluan negara menjelang tahun 2040.
“Insya-Allah (stabilkan harga produk asas). Sebab harga ayam bergantung benar kepada makanan ayam ini. Jagung bijian serta soya ini kita import 100 peratus.
“Sekarang ini jagung bijian kita ada teknologi untuk usahakan di Malaysia. Soya pula di peringkat penerokaan.
“Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan membuat kajian untuk soya. Alhamdulillah, jagung bijian ketika ini sudah boleh dikembangkan,” jelasnya.
Mohamad berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Varieti Jagung Bijian Tempatan dan Penanaman Jagung Bijian Berskala Besar, di sini, pada Isnin.
Tambahnya, kerajaan kini menjalin kerjasama dengan syarikat swasta seperti Genting Plantations Berhad untuk meningkatkan pengeluaran tempatan jagung bijian sebagai usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Bagi projek di Bute Div. Genting Tanah Merah Estate di Sepang, sebanyak 49.13 hektar telah dibangunkan manakala 15.51 hektar telah ditanam, dengan sasaran diperluas kepada 100 hektar menjelang tahun 2027.
“Pengeluaran pada peringkat awal dijangka masih sederhana, namun hasil pertama daripada projek ini dilihat mampu diperoleh menjelang hujung tahun 2026.
“Selain projek di Sepang ini, penanaman jagung bijian berskala besar turut dirancang di Perlis membabitkan kira-kira 2,500 hektar dan Sarawak sekitar 5,500 hektar.
“Penanaman juga sudah dimulakan di beberapa kawasan di Perak, Johor dan Pahang yang menjadi sebahagian usaha memperluas pengeluaran jagung bijian tempatan,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Mohamad berkata risiko krisis cuaca global atau dalam negara serta kemungkinan ketegangan geopolitik menjadi antara pendorong untuk Malaysia memperluas pengeluaran jagung bijian tempatan.
“Malaysia dijangka menghadapi cuaca panas El Nino yang mungkin akan lebih meruncing tahun hadapan. Tetapi kalau soal geopolitik kita tidak boleh nak ramalkan.
“Inilah persediaan kita untuk menjadi ‘self-sufficient’, sebahagian jagung bijian ini dapat kita sediakan di dalam Malaysia, inilah usaha kita.
“Malaysia tidak semestinya harus mencapai tahap sara diri penuh dalam masa terdekat, namun yang penting kita menuju ke arah itu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, katanya MARDI telah membangunkan dua varieti jagung bijian tempatan, iaitu MZ1 dan MZ2, yang akan digunakan dalam projek berskala besar ini.
Varieti itu dinilai berdasarkan ketahanan terhadap cuaca dan persekitaran tempatan, selain hasil serta ketahanan terhadap penyakit.
Katanya lagi, keseluruhan inisiatif ini merupakan sebahagian pendekatan baharu KPKM berasaskan pengeluaran berskala besar, mekanisasi, rantaian nilai bersepadu dan dipacu pasaran.