KUALA LUMPUR: Pengenalan semula program pengakuan sukarela khas mulai 1 Jun 2023 hingga 31 Dis 2024 akan membolehkan pengampunan ke atas penalti 100 peratus terhadap cukai langsung dan tidak langsung yang tidak dibayar akan membantu menambah hasil kerajaan selain memberi manfaat kepada pembayar cukai yang ingin memanfaatkan inisiatif tersebut.

Pengenalan semula program itu diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Presiden Chartered Tax Institute Malaysia (CTIM) Chow Chee Yen berkata keinginan pembayar cukai untuk tampil mendedahkan cukai yang belum dibayar secara sukarela mungkin tidak begitu kuat melainkan terdapat alasan yang kukuh untuk berbuat demikian.

"Komunikasi daripada jangkaan dan ketelusan antara pihak berkuasa cukai dan pembayar cukai turut dijangka memberi kesan kepada hasil yang diinginkan daripada program tersebut," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pengurangan kadar cukai sebanyak dua mata peratusan untuk banjaran pendapatan boleh cukai RM35,001 hingga RM100,000 dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 2.4 juta pembayar cukai daripada kumpulan M40 berpendapatan sederhana.

"Ini adalah satu pengiktirafan bahawa kenaikan kos sara hidup turut melanda kumpulan M40 selain kumpulan B40 yang menerima sebahagian besar daripada bantuan kerajaan.

"Didapati bahawa kerajaan bersedia untuk melanjutkan pengurangan kadar cukai kepada mereka yang berada dalam banjaran boleh cukai RM35,001 hingga RM50,000 yang bukan penerima untuk cadangan yang sama (sebelum ini)," katanya.

Sebaliknya, Chow berkata kerajaan telah mencadangkan untuk menaikkan kadar cukai sebanyak 0.5 hingga dua mata peratusan untuk banjaran boleh cukai RM100,001 hingga RM1 juta, yang dijangka memberi kesan kepada kira-kira 150,000 pembayar cukai.

"Pelarasan semula kadar cukai untuk banjaran tersebut konsisten dengan apa yang dilihat sebagai pemikiran kerajaan untuk membantu mereka yang menghadapi kesukaran dan memperluas asas cukai kepada mereka yang mampu," katanya.

-- BERNAMA