KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan Telegram memberi kerjasama baik dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam mengawal selia platform berkenaan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata antara kerjasama diberikan termasuk berkaitan isu keselamatan dalam talian seperti penipuan dan judi dalam talian dengan menurunkan kandungan atau saluran yang berkaitan.

"Tetapi satu daripada masalah yang kita hadapi ialah bila ditutup satu saluran, dibuka saluran lain. Judi dalam talian ini seringkali mereka sangat kreatif.

"Jadi kita juga berbincang mengenai cara-cara yang lebih mampan untuk lawan penipuan dan judi dalam talian bukan sahaja dalam aplikasi Telegram tetapi banyak aplikasi media sosial dan mesej dalam talian yang lain," katanya kepada pemberita pada program pemeriksaan kesihatan mata di Lembah Pantai, di sini hari ini.

Selain isu keselamatan, Fahmi berkata pihak Telegram turut memberi kerjasama dalam menurunkan kandungan yang melanggar Akta Hak Cipta.

"Contohnya, siri televisyen Layang Layang Perkahwinan boleh diperoleh dalam aplikasi tersebut," kata Fahmi.

Pada 2 Mac lepas, Fahmi mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Telegram Pavel Durov di Dubai bagi membincangkan isu berbangkit melibatkan platform media sosial itu yang mempunyai kira-kira 15 juta pengguna di Malaysia.

Mengenai program pemeriksaan kesihatan mata, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata sebanyak 150 penduduk sekitar Taman Sri Sentosa menyertai program anjuran Rotary Club of Pantai Valley dengan kerjasama Parlimen Lembah Pantai.

Selain pemeriksaan mata menggunakan teknologi realiti maya (VR), program itu turut menyediakan pemeriksaan perubatan asas, urutan refleksologi dan gunting rambut percuma.

-- BERNAMA