Pengerusi MyWatch, R. Sri Sanjeevan mendakwa menerima sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan bunuh dalam usahanya untuk menonjolkan semula peranan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut dalam mendedahkan sindiket jenayah dan anggota polis yang korup.

SMS dari nombor telefon yang tidak dikenali tersebut diterima pada jam 3.53 pagi hari ini.

Sanjeevan berkata, SMS yang ditulis dalam campuran bahasa Tamil dan Malaysia bertulis “Aku akan bunuh kau. Kau fikir kau sudah bagus. Jangan main-main dengan aku. Jika engkau bagus sangat, aku lagi bagus dari kau. Pastinya kau akan mati di tangan aku. Jika engkau berani, hubungilah aku di.....”

Sanjeevan yang masih lagi dalam proses pemulihan selepas kejadian ditembak oleh orang yang tidak dikenali pada Julai tahun lalu mengatakan bahawa beliau terjaga dari tidur sekitar jam 8 pagi untuk melihat mesej pada telefon bimbit beliau dan dengan segera beliau dilanda kebimbangan yang memuncak.

Beliau kerap dilanda perasaan yang sama apabila dilanda dan diburu terutamanya ketika peristiwa yang hampir mengorbankan dirinya.

“Tidak sampai 10 hari pun kita menjalani tahun 2014, ‘trend’ itu sudah kembali. Apa yang akan terjadi seterusnya tentulah misteri terutamanya ketika polis tidak mahu member perlindungan kepada saya dan keluarga saya,” dakwa Sanjeevan kepada Astro Awani.

Menceritakan kembali pelbagai gangguan yang dihadapi beliau ketika beliau mengetuai kempen MyWatch, Sanjeevan menurutnya tidak pernah mendapat satu jawapan yang pasti mengenai gangguan-gangguan tersebut.

Ini termasuklah ugutan bunuh yang diterimanya pada Januari tahun lalu berikutan satu laporan yang dibuat beliau merhubung polis di Jelebu.

Selain itu juga, beliau pernah diserang tiga lelaki di tempat letak kereta sehinggalah membawa kepada insiden tembakan keatas beliau yang hampir membunuhnya.

Beliau juga mengadu bahawa polis tidak begitu efektif dalam menyelesaikan kes tembakan beliau itu.

Menerusi akaun Twitter beliau telah pun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempoh sekitar jam 4 petang tadi.

Bila ditanya, adakah beliau takut pada waktu ini, Sanjeevan hanya ketawa sambil mengatakan bahawa “Saya hanya bimbangkan mengenai keselamatan keluarga saya sahaja,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Hamzah Alias mengesahkan menerima laporan tersebut.

Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas ugutan jenayah.