NATIONAL
Penggunaan jentera, peruntukan kerajaan pada PRK Ayer Kuning, PRU tidak dibenarkan - Fahmi

Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara berkenaan selaras dengan ketetapan dan kenyataan dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan sekali lagi menegaskan penggunaan jentera atau peruntukan kerajaan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning atau pilihan raya umum (PRU) adalah tidak dibenarkan.
Ringkasan AI
- Kerajaan menegaskan jentera dan peruntukan kerajaan tidak boleh digunakan sepanjang kempen PRK atau PRU, termasuk di Ayer Kuning.
- Sepanjang tempoh kempen, tiada pengumuman peruntukan kerajaan dibenarkan seperti yang ditegaskan Perdana Menteri.
- Tindakan ini selaras dengan usaha memastikan pilihan raya berlangsung secara bebas dan adil.
"Jadi (dalam) tempoh kempen itu, tidak boleh ada apa-apa pengumuman mengenai penyampaian peruntukan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan badan bukan kerajaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) kononnya mereka mengesan sekurang-kurangnya tiga pelanggaran prinsip pilihan raya bebas dan adil sepanjang tempoh kempen PRK Ayer Kuning berlangsung.
Anwar sebelum ini telah memberi amaran, bahawa selepas proses penamaan calon pada PRK Ayer Kuning, semua pihak berkaitan tidak boleh menggunakan jentera atau peruntukan kerajaan bagi tujuan kempen.
Mengenai dakwaan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan majlis hari raya secara besar- besaran dan menjemput artis ternama, Fahmi berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Namun berdasarkan pengalaman di Kementerian Komunikasi, beliau berkata kebanyakan artis yang hadir tidak mengenakan bayaran untuk persembahan ataupun hanya mengenakan bayaran nominal.
"Dalam pengalaman Kementerian Komunikasi sendiri tahun lepas, bila kita melakukan bersama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), beberapa artis telah menyatakan bahawa mereka akan menyampaikan persembahan dan tidak menggunakan apa-apa bayaran.
"Itu yang berlaku dalam pengalaman saya sendiri bagi Kementerian Komunikasi tahun lepas. Tahun ini kami manfaatkan (artis) veteran dan beberapa yang lain, tapi itu adalah Kementerian Komunikasi," katanya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami