SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menjangkakan peningkatan dalam penggunaan tenaga solar di negeri berkenaan susulan pengenalan skim Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP) bermula 1 Jan lepas, sekali gus menyokong transisi tenaga hijau negeri.
Exco Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata jangkaan berkenaan juga disokong peningkatan syarikat menyediakan kaedah pemasangan tanpa pembiayaan awal yang dilihat mampu menarik minat masyarakat untuk menggunakan teknologi itu di premis masing-masing.
“Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) juga ada menyenaraikan syarikat-syarikat yang menyediakan kaedah sebegini melalui laman web mereka di bawah Pelabur Solar Fotovoltaik Berdaftar (RPVI).
“Dengan kaedah sebegini, ia tidak akan menyebabkan beban kos tambahan kepada pemilik bangunan, malah memberi penjimatan melalui tenaga yang digunakan daripada penjanaan tenaga solar tersebut,” katanya ketika menggulung pembentangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Mengenai perkembangan semasa teknologi solar di Selangor, Jamaliah berkata berdasarkan data SEDA di bawah program Net Energy Metering Bangunan Kerajaan (NEM Gomen) sejumlah 70 bangunan kerajaan ternasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) telah berdaftar di bawah skim itu.
Beliau berkata jumlah berkenaan melibatkan 5.69MW jumlah kapasiti terpasang dengan daripada jumlah tersebut, kapasiti 2.23MW dijana dari Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri dan bangunan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di Selangor.
“Bagi pihak swasta, rekod SEDA Malaysia menunjukkan sebanyak 392.97MW dijana di bawah skim NEM, merangkumi pengguna kategori komersial, industri dan pertanian.
“Selain itu, terdapat juga pihak swasta yang menjana tenaga elektrik melalui tenaga solar untuk kegunaan sendiri tanpa dijual balik kepada grid TNB,” katanya.
Jamaliah berkata Selangor juga sedang membangunkan projek Government Green Energy (GGE) dengan kerjasama antara TNB Renewables Sdn Bhd (TRE) dan Worldwide Holdings Berhad (WHB) dalam usaha memperluas penggunaan tenaga solar kepada fasiliti kerajaan melalui pembangunan ladang solar di Hulu Bernam.
“Projek GGE ini dijangka menjana kapasiti hingga 100MW dan disasar ditauliahkan menjelang 2028, tertakluk kepada pemuktamadan perjanjian dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
“Pelaksanaan projek ini dijangka meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu dalam operasi kerajaan negeri, mengurangkan kebergantungan kepada bekalan elektrik konvensional serta menyokong usaha pengurangan pelepasan karbon selaras dengan agenda pembangunan rendah karbon negeri,” katanya.
-- BERNAMA