NATIONAL
Penghakiman sepatutnya ditulis sendiri oleh hakim - Peguam Rosmah

Datin Seri Rosmah Mansor keluar selepas selesai rayuan bagi menggugurkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan dalam kes rasuah berkaitan solar hibrid bernilai RM1.25 bilion ketika di Istana Kehakiman hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Pembelaan yang mewakili Datin Seri Rosmah Mansor memberitahu Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis bahawa, draf keputusan bertulis yang disediakan oleh Bahagian Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menimbulkan persoalan serius mengenai kebebasan kehakiman.
Ringkasan AI
- Peguam Datin Seri Rosmah Mansor berhujah di Mahkamah Rayuan bahawa draf keputusan bertulis yang disediakan oleh Bahagian Penyelidikan Mahkamah Tinggi menimbulkan persoalan serius tentang kebebasan kehakiman. Mereka memohon untuk menyingkirkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan, yang telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta ke atas Rosmah pada September 2022 dalam kes rasuah projek solar hibrid.
- Pembelaan mendakwa bahawa pendedahan mengenai draf penghakiman boleh menjejaskan integriti dan kebebasan sistem kehakiman, serta menyebabkan Rosmah tidak mendapat perbicaraan yang adil. Permohonan untuk membatalkan penghakiman atas dakwaan kebocoran sebelum ini telah ditolak oleh hakim.
- Rosmah didakwa atas tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM187.5 juta serta RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings. Mahkamah Tinggi membenarkan beliau menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, dengan prosiding pendengaran kes dijadualkan bersambung pada 25 Jun.
Semasa hujahan, Jagjit berkata, pendedahan mengenai draf keputusan itu boleh menjejaskan integriti dan kebebasan sistem kehakiman.
Menurutnya, bahagian itu dikatakan telah menerima arahan khusus untuk menyediakan draf bagi kes rasuah berkenaan dan mereka tidak akan bertindak sendiri tanpa sebarang arahan.
“Tidak salah hakim mempunyai pegawai penyelidik, tetapi penghakiman mesti ditulis sendiri oleh hakim.
“Ini kerana keputusan hakim akan mencerminkan pertimbangan dan dapatannya sendiri,” kata peguam itu di hadapan panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim serta dianggotai Hakim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Jagjit berkata, tindakan menyerahkan kehakiman kepada pihak ketiga, sama ada dalam bentuk draf atau akhir, sama sekali tidak boleh diterima, dikesali dan sangat memudaratkan.
Susulan itu, beliau berkata, tindakan tersebut menyebabkan anak guamnya tidak mendapat perbicaraan yang adil dalam kes berkenaan dan perkara itu sangat berbahaya kerana boleh menimbulkan berat sebelah serta ketidakadilan.
Pada 1 September 2022, Hakim, Mohamed Zaini memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Rosmah dihukum penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, namun hukuman itu diperintahkan berjalan serentak, bermakna beliau hanya akan menjalani hukuman penjara selama 10 tahun.
Beliau turut didenda RM970 juta dan, jika gagal membayar denda itu, boleh dikenakan hukuman penjara selama 30 tahun.
Sebelum keputusan itu diumumkan, Rosmah mengemukakan permohonan saat akhir untuk membatalkan penghakiman berkenaan atas dakwaan berlaku kebocoran draf penghakiman yang dikatakan dibuat oleh pihak ketiga dan tersebar secara meluas beberapa hari lebih awal.
Bagaimanapun, permohonan itu ditolak oleh Hakim, Mohamed Zaini pada permulaan prosiding pada hari sama.
Rosmah didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan Rosmah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Sebelum ini, peguam yang mewakili Rosmah memohon agar mahkamah terlebih dahulu mendengar rayuan anak guamnya berhubung keputusan Hakim, Mohamed Zaini yang menolak permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk menggugurkan dirinya daripada mendengar serta mengadili kes solar tersebut.
Permohonan untuk menyingkirkan hakim itu dibuat dua hari sebelum keputusan diumumkan, atas alasan penghakiman kes itu didakwa bocor.
Peguam juga memaklumkan bahawa pasukan pembelaan telah memfailkan hujahan setebal 700 muka surat bagi rayuan tersebut. Prosiding pendengaran ini bersambung pada 25 Jun depan. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami