KUALA LUMPUR: Seorang penghantar makanan maut selepas terlibat dalam kemalangan tiga kenderaan berhampiran lampu isyarat Kampung Lombong-Persiaran Anggerik Mokara, Shah Alam, pada Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim, kejadian pada 10.42 pagi itu melibatkan sebuah lori, motosikal dan basikal.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila lori jenis Nissan UD dari arah Kampung Lombong telah bertembung dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR serta sebuah basikal yang datang dari arah Rimbayu di lampu isyarat tersebut.

"Akibat perlanggaran ini, penunggang motosikal yang juga penghantar makanan itu telah terperosok di bawah lori manakala penunggang basikal telah tercampak di bahu jalan dan mengalami kecederaan ringan.

"Penunggang motosikal yang berumur 29 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Mohd. Iqbal berkata, mayat mangsa dibawa ke hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat.

"Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.

"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul bin Suhiami di talian 011-31215697," ujarnya.