MELAKA: Seorang penghantar makanan dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang hamil, dua minggu lepas.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman empat bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan Muhammad Aidil Azahar Rahmat, 22, menjalani hukuman itu secara serentak bermula dari tarikh tangkap 19 Mac.
Advertisement
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada Nur Azhiimah Abd Razak, 20, dengan menumbuk bahagian belakang kepala wanita itu selain juga didakwa menampar muka, memukul kepala serta menolak mangsa sehingga jatuh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat karaoke di Kompleks Perniagaan Kota Syahbandar dalam daerah Melaka Tengah pada 3.59 pagi dan 4.06 pagi 15 Mac.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran mengambil kira keadaan mangsa yang mengandung ketika kejadian.
Bagaimanapun, lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan ibunya sakit akibat strok.
Mengikut fakta kes, ibu mangsa mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis itu menunjukkan lelaki itu telah memukul, melempang, menarik rambut dan melanggar kepala anaknya tersebut yang sedang terbaring dengan motosikal.
Mangsa ditemukan oleh ibunya di zon merah Hospital Melaka pada 4.41 pagi hari kejadian dan membawanya pulang ke rumah.
Ibu mangsa membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan anak dan cucunya yang berusia setahun dua bulan selepas mendapati wanita itu tiada di rumah dan gagal dihubungi.
-- BERNAMA