Skip to main content

Malaysia

Penghayatan Rukun Negara perlu diperkasa dalam sistem pendidikan - Mubarak

Abdul Aziz hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan Mubarak Kali Ke-23 di Kuantan semalam. - Foto media sosial Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Abdul Aziz hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan Mubarak Kali Ke-23 di Kuantan semalam. - Foto media sosial Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

Advertisement

KUANTAN: Penghayatan Rukun Negara perlu diperkasa secara menyeluruh menerusi sistem pendidikan bermula daripada peringkat sekolah rendah hingga institusi pengajian tinggi, kata Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman. 

Beliau berkata Rukun Negara perlu dilihat sebagai pengikat rakyat Malaysia dan tidak seharusnya sekadar dihafal tanpa diterjemahkan dalam kehidupan seharian. 

“Sebagai rakyat negara ini, kita mesti ada semua prinsip yang digariskan dalam prinsip Rukun Negara… mesti ada kurikulum khusus untuk aspek berkenaan.

“Kementerian berkaitan boleh melihat semula aspek yang boleh ditambah baik bagi memastikan prinsip Rukun Negara diterapkan sejak peringkat awal persekolahan antaranya melalui aktiviti dan permainan,” katanya kepada pemberita pada Mesyuarat Agung Tahunan Mubarak Kali Ke-23 di sini semalam. 

Sementara itu, Abdul Aziz berkata keanggotaan Mubarak kini tidak terhad kepada bekas wakil rakyat UMNO dan Barisan Nasional sahaja sebaliknya terbuka kepada mana-mana ahli parti lain.

“Kita tidak ada sekatan terhadap bekas wakil rakyat yang berminat untuk menyertai pertubuhan ini kerana kami jaga aspek kebajikan... maknanya, bila ada yang sakit dan sebagainya, mereka dibantu,” katanya. 

Di samping itu, beliau mengulangi cadangan supaya Malaysia mempunyai tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri masing-masing mewakili Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi mewujudkan kepimpinan yang kolektif. 

Abdul Aziz berkata Sabah dan Sarawak mempunyai kekuatan tersendiri antaranya daripada segi sumber dan hasil, justeru kepentingan kedua-dua wilayah perlu diterjemahkan menerusi penglibatan yang lebih menyeluruh dalam pentadbiran Persekutuan. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement