KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengiktirafan Hospital Bukit Mertajam (HBM) di Pulau Pinang sebagai Green Hospital pada peringkat dunia satu kejayaan yang membanggakan negara.
Menerusi hantaran dalam platform X hari ini, beliau berkata pengiktirafan itu menjadikan hospital berkenaan sebagai satu-satunya hospital di Malaysia yang tersenarai dalam kelompok 250 hospital terbaik dunia bagi inisiatif kelestarian.
"Inilah kejayaan yang membanggakan negara, apabila kecemerlangan perkhidmatan kesihatan berjalan seiring dengan tanggungjawab memelihara alam sekitar dan menjamin kesejahteraan rakyat.
"Syabas dan tahniah!!," kata beliau.
Hospital itu menerima pengiktirafan berkenaan menerusi penarafan World’s Greenest Hospitals 2026 oleh Newsweek dan Statista.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan HBM terpilih selepas menewaskan ribuan hospital lain dari 36 negara dalam edisi sulung itu, yang mengiktiraf institusi kesihatan negara atas komitmen luar biasa dalam penjagaan kesihatan mesra iklim dan kelestarian alam sekitar.
-- BERNAMA