Perkhidmatan penghantaran makanan merupakan salah satu perkhimatan penting terutama ketika kerajaan sedang berusaha memutuskan rantaian COVID-19 dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun ada segelintir pihak yang mengambil kesempatan menggunakan perkhimatan mereka untuk menghantar bahan terlarang sehingga merisikokan keselamatan pekerja penghantaran.

Itu yang berlaku kepada seorang pekerja penghantaran dalam kejadian pada jam 7 malam Isnin, selepas dia menerima pesanan untuk menghantar bungkusan.

BACA: 'Rider ketum' ditahan polis

BACA: Penghantar makanan ditahan bersama dadah di Cheras


Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, pekerja khidmat penghantaran itu menerima pesanan dari seorang lelaki di Tropicana, Petaling Jaya untuk menghantar satu bungkusan kepada penerima di Setapak, Kuala Lumpur.

"Semasa berada di kawasan Gombak, pengadu telah membuka bungkusan itu kerana berasa tidak sedap hati dan mendapati bungkusan itu mengandungi roti canai dan dua plastik lutsinar disyaki dadah," katanya.

Individu terbabit kemudiannya membuat laporan polis berikutan penemuan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah Arifai, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek.

Gambar bungkusan tersebut turut tular di media sosial sehingga mengundang reaksi netizen yang tidak berpuas hati dengan tindakan menyalah guna perkhidmatan tersebut.