ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor mahu tindakan undang-undang diambil ke atas pengkhianat yang menyebabkan negara kehilangan hak dan kedaulatan terhadap Batu Puteh atau Pedra Branca.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata meskipun ada yang beranggapan Batu Puteh tiada kepentingan ekonomi yang signifikan namun tidak boleh dinafikan kepentingannya dari sudut kedudukan strategik maritim.

Katanya kehilangan Batu Puteh memberi kesan negatif kepada rakyat terutamanya nelayan yang mengeluh kerana sumber pendapatan mereka terjejas

"Meskipun saiznya sebesar padang bola (8,560 meter persegi), Batu Puteh terletak begitu dekat dengan Johor iaitu 14.3 kilometer dari Tanjung Penyusop, Johor berbanding 46 kilometer dari Changi, Singapura.

"Kedudukan Batu Puteh juga amat strategik, iaitu terletak di laluan utama bagi kapal-kapal dagang melalui Selat Melaka dan Laut China Selatan.

"Batu Puteh sebelum ini merupakan kawasan perikanan penting bagi nelayan kita dan juga tempat mereka berteduh ketika ombak besar dan ribut. Bahkan pada ketika ini, kita sudah menerima laporan bahawa ramai nelayan-nelayan kita yang sudah dihalau keluar dari kawasan berdekatan Batu Puteh oleh pengawal pantai Singapura.

"Memandangkan Batu Puteh kini menjadi hak Singapura, ini akan menimbulkan pertikaian tuntutan bertindih kawasan maritim, apatah lagi jarak Batuan Tengah milik Malaysia hanya sekitar satu kilometer daripada Batu Puteh.

"Pertikaian tersebut kini menjadi lebih serius apabila laporan menyatakan bahawa Singapura telah mula menjalankan kerja-kerja penambakan di Batu Puteh, sedangkan perbatasan maritim masih lagi dalam perundingan dan belum dimuktamadkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail,  di sini,  hari ini.

[TERKINI] Pulau Batu Puteh : Perlu tindakan undang-undang kepada pengkhianat


BACA: Kehilangan Pulau Batu Puteh kesilapan kerajaan Johor - Dr Mahathir

BACA: Sultan Ibrahim kecewa, Johor seolah-olah dianaktiri

Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Machap berkata sebagai seorang pemimpin juga, janganlah disebabkan dendam kesumat dan iri hati,  Johor dan  rakyatnya menjadi mangsa, malah keputusan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap Batu Puteh telah dibuat oleh pemimpin PH.

Katanya, ini soal kedaulatan dan maruah negara malah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pernah menyebut secara jelas bahawa Batu Puteh pernah menjadi milik Kesultanan Johor Lama.

"Persoalannya siapa yang menasihati kerajaan membuat keputusan yang melulu sedangkan Peguam Negara dicutikan ketika itu.

"Rakyat Malaysia terutamanya bangsa Johor amat mengambil berat dan pandang serius terhadap perkara itu. Mana mungkin maruah dan kedaulatan negara ini digadaikan begitu sahaja.

"Ia bukan sahaja telah meninggalkan satu 'precedent' yang buruk kepada negeri dan negara, malah mencatatkan satu detik hitam dalam sejarah negara kita yang berdaulat," katanya lagi.