KUALA LUMPUR: Pengoperasian penuh Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) di 141 pintu masuk negara dijangka memerlukan 13,700 perjawatan anggota, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata setakat 31 Jan lepas, sebanyak 104 waran perjawatan melibatkan pelbagai skim dan gred telah diluluskan untuk pelaksanaan di peringkat ibu pejabat MCBA dan sembilan pintu masuk termasuk pelantikan Datuk Seri Hazani Razali sebagai Ketua Pengarah MCBA yang pertama.

"Untuk koordinasi yang lebih tersusun dan lengkap, pasukan MCBA sedang giat menyelaraskan perbincangan dan libat urus bagi tujuan penggubalan Rang Undang-undang MCBA dan Rang Undang-undang pindaan akta-akta berkaitan.

"Sekurang-kurangnya 31 akta akan terlibat dalam pindaan dan berdasarkan perancangan, MCBA dijangka mula beroperasi sepenuhnya di lapangan selepas rang undang-undang akta berbangkit diluluskan, yang disasarkan untuk dibentang dalam sesi persidangan Dewan Rakyat Jun akan datang," katanya.

Shamsul Anuar berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang bertanyakan status terkini projek rintis pelaksanaan agensi tunggal sempadan negara (SBA) yang kini dikenali sebagai MCBA dan sasaran ia dijangka mula beroperasi.

Shamsul Anuar juga memberitahu Dewan Rakyat, penyelarasan dan libat urus bersama agensi-agensi sedia ada dan pihak berkepentingan lain sedang giat dilakukan bagi memastikan koordinasi yang baik dan harmoni di semua pintu masuk terlibat.

Penyelarasan ini merangkumi perancangan operasi secara berfasa, membangunkan prosedur operasi standard (SOP) yang bersepadu di lapangan serta mewujudkan mekanisme penyelarasan dasar antara pelbagai kementerian dan jabatan yang berbeza, katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 Oktober tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan SBA (kini MCBA) sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

Inisiatif yang dirancang sejak 2018 itu akan menyatukan lebih 20 agensi penguat kuasa di 141 pintu masuk antaranya Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

-- BERNAMA