KUALA LUMPUR: Penguasaan kecerdasan buatan (AI) tidak seharusnya dicedok sepenuhnya daripada pendekatan negara asing, khususnya Barat, sebaliknya perlu berakar pada iman, akhlak dan sahsiah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cabaran umat Islam ketika ini adalah untuk memanfaatkan perkembangan teknologi baharu tanpa mengorbankan nilai dan prinsip yang menjadi pegangan.
Jelasnya, ia termasuk dalam penguasaan bidang seperti AI, pengkomputeran kuantum dan pendigitalan.
“Apakah perlu kita kuasai (AI)? Jawab saya, satu kemestian. Umat yang meninggalkan AI sebagai ilmu dan pengetahuan baru akan tercorot.
"Tetapi kefahaman AI kita itu tidak semestinya menciplak, dicedok sepenuhnya dari negara asing, apalagi negara Barat.
“Cabarannya ialah bagaimana kita gunakan ilmu dan teknologi baru ini: Quantum computing, Artificial Intelligence (AI), Digitalization..tetapi berakar kepada iman dan akhlak dan sahsiah kita. Nilai kita mesti kita pertahankan," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pembukaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa (MTHQA) Ke-66 Tahun 1448H/2026 malam ini.
Dalam pada itu Anwar mengingatkan, prinsip akidah, akhlas dan sahsiah tidak boleh ditinggalkan hanya kerana mendambakan perubahan serta menginginkan ilmu baharu sekali gus tersisih sebagai seorang Muslim yang baik.
“Sebab itu dalam mengejar perubahan ini, kita tidak boleh lari daripada semangat membawa kebaikan dan rahmat,” katanya.