SHAH ALAM: Pasukan Wildlife Reproductive Biotechnology (WRB) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya melakukan pengumpulan semen yang diperolehi daripada harimau jantan bernama Bobby.

Menurut Jabatan Perhilitan, langkah seterusnya adalah menjalankan proses pemanian beradas terhadap harimau betina iaitu Zanah.

Ujarnya, Program Teknologi Pembiakan Berbantu yang dijalankan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak itu merupakan antara usaha pihaknya untuk membiakkan hidupan liar terancam khususnya Harimau Malaya.

“Ayuh sama-sama kita doakan agar usaha ini dapat berhasil demi melestasrikan konservasi Harimau Malaya di negara Malaysia yang tercinta,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Program pada kali ini turut dibantu oleh pakar pembiakan haiwan, Dr Cheong Soon Hon dan dibantu oleh pihak Cornell University, New York, USA serta beberapa orang penysarah kanan daripada Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia. - Sinar Harian