Pengurus Besar dan Setiausaha Syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak kerajaan negeri, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Khalid berkata tindakan itu dibuat berikutan pelbagai kenyataan dan spekulasi yang timbul ekoran penyingkiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali dari PKNS.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Khalid berkata kerajaan negeri mengambil maklum kenyataan yang dibuat oleh Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keahlian dan pengguguran ahli lembaga pengarah PKNS.

"Kita berpandangan bahawa kenyataan beliau itu mencerminkan sikap pemimpin yang berjiwa besar.

"Dengan mengambil kira kedudukan dan status beliau, Menteri Besar dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) merasakan perlu mempertimbangkan permintaan beliau sebelum membuat sebarang keputusan muktamad," katanya.

Abdul Khalid menegaskan Menteri Besar dan barisan Exco terikat kepada Enakmen PKNS dan mempunyai tanggungjawab untuk memperbetulkan sebarang kecacatan atau kesilapan yang berkaitan dengan perkara ini.

Katanya sebelum keputusan muktamad dibuat oleh Exco, kedudukan ahli lembaga pengarah PKNS berkenaan kekal seperti yang diarahkan oleh pengurus besar PKNS untuk mengelakkan sebarang komplikasi perundangan.

"Oleh kerana perkara ini bukan isu terdesak yang melibatkan kepentingan orang ramai, Kerajaan negeri meminta rakyat supaya bersabar dan tidak mempercayai sebarang spekulasi sehingga keputusan Exco dibuat," katanya lagi.

Hari ini, dalam satu sidang media, Anwar menegaskan penyingkiran Azmin dari Lembaga Pengarah PKNS adalah tidak sah kerana ia dibuat tanpa mengikut peraturan.

Anwar berkata proses yang dibuat untuk tidak melantik semula Azmin dalam lembaga pengarah PKNS tidak mengikut prosedur yang sepatutnya.