KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan menetapkan 29 Dis ini untuk pengurusan kes bagi mendapatkan status terkini rekod rayuan dan alasan penghakiman Mahkamah Tinggi berhubung pembebasan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Muhammad Noor Firdaus Rosli ketika sebutan kes hari ini yang turut disertai peguam K. Sagana mewakili pasangan suami isteri berkenaan.

"Timbalan Pendaftar (Muhammad Noor Firdaus) telah mendapat makluman daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi bahawa rekod rayuan dan alasan penghakiman berkenaan sedang disediakan pada kadar segera," kata Mohamad Fadhly ketika dihubungi.

Pada 15 Sept lepas, pendakwaan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Sept yang melepas dan membebaskan Bung Moktar dan Zizie Izette selepas membenarkan permohonan pasangan itu untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid yang membuat keputusan itu berkata adalah sesuai dan wajar untuk melaksanakan kuasa penyemakan di bawah Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dalam kes itu.

Pada 2 Sept tahun lepas, Mahkamah Sesyen memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah dihadapi mereka. Ini mendorong mereka memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mahkamah Sesyen.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka tanpa mendengar merit permohonan selepas membenarkan bantahan awal pendakwaan terhadap permohonan berkenaan.

Pasangan itu kemudian memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan dan pada 7 Julai 2023, mereka berjaya dalam rayuan dan mahkamah menghantar semula permohonan semakan kepada Mahkamah Tinggi untuk merit permohonan didengar.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima suapan daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar menerusi nama Zizie Izette atas sebab dan tempat yang sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

-- BERNAMA