Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Berpegang kepada pepatah itu, seorang pengusaha butik pengantin dari Kampung Pondok, di sini, menghasilkan tanjak Jalur Gemilang khusus buat bayi dan kanak-kanak.

Nor Dina Nordin, 45 berkata dalam mana-mana sambutan perayaan termasuk Hari Kebangsaan, kanak-kanak merupakan antara golongan paling teruja walaupun masih belum faham erti kemerdekaan sebenar.

Justeru, bagi menceriakan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 (HKHM 2023), ibu kepada seorang anak itu terpanggil untuk menceriakan kanak-kanak dengan menghasilkan tanjak Jalur Gemilang.

"Melihat kegembiraan yang terpancar di wajah comel kanak-kanak dan bayi ketika memakai tanjak Jalur Gemilang itu, memberikan kepuasan kepada saya.

"Walaupun mereka (kanak-kanak) masih kurang faham erti merdeka, setidak-tidaknya dengan memakai tanjak ini mereka akan rasa teruja dan gembira," kata pemilik Dnas Qaseh Butik Pengantin.

Menurut Nor Dina, ini merupakan kali pertama dia menghasilkan tanjak Jalur Gemilang setelah 20 tahun terlibat dalam perniagaan butik pengantin.

"Sebelum ini saya hanya hasilkan tanjak untuk pengantin dengan menggunakan kain songket. Tapi untuk tanjak kali ini, saya guna bendera Malaysia," katanya.

Menceritakan mengenai tanjak yang dihasilkannya, Nor Dina berkata dia menggunakan teknik cantuman iaitu dengan mencantum bendera bersaiz kecil dengan kain berwarna biru yang melambangkan perpaduan rakyat Malaysia serta kain merah lambang keberanian rakyat Malaysia.

"Saya menggunakan Jalur Gemilang bersaiz kecil bagi mengelakkan daripada dipotong dan mudah dibentuk," katanya.

Tanjak Jalur Gemilang yang telah siap akan dijual pada harga serendah RM25 bagi saiz bayi dan RM35 untuk saiz kanak-kanak, manakala bagi saiz dewasa pula dijual pada harga RM50, katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah Nurul Nursyawaltie Mohd Sabri, 26, berkata dia membeli tanjak Jalur Gemilang untuk anaknya Muhammad Arz Matee Muhammad Arzyzat yang baru berusia 21 hari.

"Walaupun belum faham apa itu merdeka, diharap pemakaian tanjak Jalur Gemilang dapat membentuknya menjadi insan yang cintakan negara dan berbakti kepada negara apabila besar nanti," katanya.

-- BERNAMA