Skip to main content

Malaysia

Pengusaha pelancongan Pulau Perhentian mohon SKDS, SKPS untuk generator elektrik

51654426918_PulauPerhentianKec.jpg
Pengusaha pelancongan di Pulau Perhentian kini berdepan peningkatan kos operasi antara 50 hingga 70 peratus sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

JERTIH: Persatuan Pengusaha Pelancongan Pulau Perhentian (5P) memohon pertimbangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya diberikan akses kepada Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi kegunaan generator di pulau itu, susulan kenaikan kos bahan api serta kebergantungan berterusan kepada sumber tenaga luar grid.

Pengerusi 5P Rafizah Munir berkata pengusaha di pulau berkenaan kini berdepan peningkatan kos operasi antara 50 hingga 70 peratus sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Advertisement

“Bahan api bukan sekadar kos operasi bagi kami, tetapi merupakan keperluan asas untuk memastikan kehidupan di pulau ini dapat diteruskan.

“Kami bergantung sepenuhnya kepada generator untuk bekalan elektrik. Kenaikan harga ketika ini amat membebankan dan jika berterusan, kami mungkin terpaksa menaikkan harga atau mengurangkan operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizah berkata jika keadaan itu tidak ditangani, ia akan memberi kesan kepada daya saing Pulau Perhentian serta keseluruhan ekosistem pelancongan yang menyokong ratusan pekerjaan penduduk setempat termasuk pekerja hotel, pengusaha bot dan peniaga kecil.

Sementara itu, beliau berkata memandangkan kekangan infrastruktur yang unik di pulau berkenaan, 5P mencadangkan agar pendekatan dasar yang lebih bersasar perlu dilaksanakan bagi mengambil kira realiti operasi pengusaha yang tidak mempunyai alternatif bekalan elektrik.

Sehubungan itu, beliau menyeru KPDN supaya meneliti semula kerangka subsidi sedia ada serta  mempertimbangkan mekanisme khas atau pengecualian bersasar untuk pengusaha di kawasan pulau.

Sementara itu, pemilik Crocodile Rock Villas, Sabri Hamdan turut berkongsi pandangan sama sebagai pengusaha di Pulau Perhentian kerana pengusaha di pulau tersebut masih memerlukan sokongan subsidi sehingga pulau itu dibekalkan sepenuhnya oleh pembekal tenaga nasional.

"Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), kami berharap isu ini dapat diberi perhatian segera. Menyokong destinasi seperti Pulau Perhentian bermakna menyokong komuniti dan ekonomi yang bergantung kepadanya,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video