KLANG: Enam individu dirakam keterangan berkaitan kes pergaduhan melibatkan peniaga gerai berdekatan Kompleks Sukan Pandamaran, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam ketika individu terlibat sedang membuka gerai untuk berniaga di lokasi berkenaan.

"Siasatan mendapati berlaku pertengkaran mulut mula apabila salah seorang peniaga mendakwa barangan peniaga di sebelahnya diletak sehingga menghalang laluan.

"Individu berkenaan menegur tindakan tersebut sebelum berlakunya pertengkaran sehingga membawa kepada insiden tolak menolak antara mereka," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, pergaduhan bagaimanapun dileraikan beberapa individu yang berada berdekatan.

"Siasatan mendapati kesemua individu terlibat merupakan ahli keluarga dan kejadian bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan," katanya.

Menurutnya, satu video dipercayai berkaitan kejadian juga telah dikesan tular di media sosial, dan pihaknya berharap penyebaran video berkenaan dapat segera dihentikan untuk mengelakkan sebarang kegusaran awam. -Sinar Harian