KLUANG: Seorang peniaga kenderaan terpakai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki senjata api, awal bulan ini.
How Han Wei, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli.
Mengikut kertas pertuduhan, How didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Smith & Wesson tanpa kebenaran sah di sebuah rumah di Taman Kluang Indah kira-kira 6.30 petang pada 6 Ogos lepas.
Dia dituduh di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Yvonne Kee.
Tiada jaminan dibenarkan kepada tertuduh memandangkan kes itu tidak boleh dijamin dan mahkamah kemudian menetapkan 28 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Pada 17 Ogos lepas, How bersama tiga lelaki lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat atas pertuduhan membunuh seorang usahawan pada awal bulan ini.
Sebelum itu, How adalah antara lima suspek ditahan polis susulan penemuan mayat lelaki berusia 39 tahun yang ditemukan terapung dan dililit jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja dekat sini, awal bulan ini.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh dengan jerutan di leher menggunakan tali sebelum dibawa menaiki kenderaan, diikat kedua-dua tangannya menggunakan pita pelekat dan jasadnya dibalut dengan jaring.
Lima ketul batu turut ditemukan pada mayat yang dipercayai digunakan untuk menenggelamkan mangsa.
Mangsa dilaporkan hilang oleh isterinya sejak 29 Julai, manakala keluarganya hanya menemukan kenderaan mangsa di Johor Bahru.
-- BERNAMA