KULIM: Seorang lelaki yang juga peniaga kuih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kulim, hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis, Sabtu lalu.

Tertuduh, Chua Kai Choon, 45, yang berasal dari Bedong, Sungai Petani bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mirza Mohamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Koperal Muhamad Khairul Syafiq Ahmad, 31, dengan melanggar anggota polis berkenaan ketika memandu sebuah lori pikap Nissan Frontier jam 9.15 pagi  16 Julai di Jalan Kulim - Serdang, berhampiran Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan tertuduh boleh menyebabkan kematian itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Pavithra manakala tertuduh diwakili peguam Chong Seng Meng dan Tengku Hezrul Anuar Tengku Abdul Samad.

Seng Meng dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin kerana anak guamnya hanya bekerja sebagai peniaga kuih di pasar pagi dan terpaksa menanggung isteri warga Thailand, dua anak dan ibu.

Mahkamah bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk tidak memenuhi kriteria antaranya usia, jantina serta kesihatan tertuduh.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan berasingan ke atasnya masing-masing tiga kes mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,  menghalang tugas penjawat awam dan kes dadah.

Bagi pertuduhan pertama mengikut APJ 1987, tertuduh pada pukul 9.15 pagi 16 Julai di Jalan Kulim-Serdang berhampiran pejabat LHDN didakwa mengikut Seksyen 44(1A) APJ 1987 kerana memandu lori pikap Nissan Frontier di bawah pengaruh dadah dan alkohol sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Koperal Muhamad Khairul Syafiq Ahmad.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama didakwa mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalanraya yang lain.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Chua pada tarikh, waktu dan lokasi sama didakwa mengikut Seksyen 6(1) APJ 1987 kerana mengubahsuai struktur serta peralatan pada kenderaannya.

Tertuduh, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Noor Fazlina Musa.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Noor Fazlina menetapkan jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagi pertuduhan menghalang penjawat awam, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan kesalahan itu terhadap Koperal Muhamad Syafiq pada 16 Julai pukul 9.15 pagi di Jalan Serdang-Kulim.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memasukkan dadah dalam tubuhnya di tandas Balai Polis Kulim pada 16 Julai pukul 3.05 petang.

Bagi dua pertuduhan itu mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM2,500 dan RM2,000 dengan seorang penjamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Arthini manakala tertuduh diwakili peguam yang sama.

Mahkamah menetapkan 16 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.