MELAKA: Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini memerintahkan seorang peniaga lembu dipenjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan menyebabkan kematian seorang individu, 10 tahun lepas.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah memerintahkan hukuman terhadap M. Maheswaran, 40, bermula dari tarikh tangkap, iaitu 3 Mac 2022.
Advertisement
Maheswaran didakwa menyebabkan kecederaan yang mungkin boleh menyebabkan kematian terhadap S. Manikumar, 35, antara 10.30 malam 22 Mei hingga 9.50 pagi 23 Mei 2016 di kawasan hutan kelapa sawit berhampiran Empangan Jus, Selandar di Jasin.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, rangka Manikumar ditemukan pada 18 Jun 2016, iaitu hampir sebulan selepas abangnya membuat laporan kehilangan mangsa pada 23 Mei tahun yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya Rif'ah 'Izzati Abdul Mutalif memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan kematian mangsa satu kehilangan kepada keluarganya.
Peguam tertuduh Daniel Savarimuthu bagaimanapun merayu hukuman diringankan kerana anak guamnya menyara empat anak.
-- BERNAMA