KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan akan meneliti cadangan konsep projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dengan fokus untuk meminimumkan implikasi kewangan kepada kerajaan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang mengesahkan beliau telah menerima laporan awal daripada MyHSR Corporation Sdn Bhd untuk projek HSR berkata, penilaian itu masih belum dimuktamadkan di peringkat kementerian.

"HSR sedang dinilai MyHSR dan pengurusan telah memberi laporan awal kepada saya, tetapi di kementerian belum dimuktamadkan penilaian itu. Apabila dimuktamadkan penilaian itu, kita akan bawa kepada jemaah menteri," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berhubung status terkini projek HSR dan sama ada projek berkenaan dibiayai oleh kerajaan.

Loke turut menegaskan bahawa projek HSR diteraju sektor swasta tanpa sebarang suntikan dana kerajaan.

"Prinsip kita supaya projek ini mesti diteraju swasta tanpa suntikan modal daripada kerajaan. Itu prinsip yang kita telah letakkan, tetapi adakah sepenuhnya atau ada apa-apa komponen melibatkan implikasi kewangan, itu yang kita kena kita lihat," katanya.

Pada 4 Mac lepas, Kementerian Pengangkutan berkata penilaian terhadap tujuh cadangan konsep yang diterima daripada firma atau konsortium yang berminat untuk terlibat dalam projek HSR dijangka mengambil masa dua bulan untuk disempurnakan.

-- BERNAMA