GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 untuk semua penjawat awam di negeri itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata bayaran bonus kepada 3,962 penjawat awam negeri itu akan dibuat bulan depan.

Beliau berkata, pemberian bonus yang akan melibatkan jumlah keseluruhan RM5.59 juta itu diharap dapat meningkatkan semangat penjawat awam dalam menjalankan tugas mereka.

“Kerajaan negeri bersetuju meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan akhir tahun bersamaan dengan setengah bulan gaji penjawat awam atau minimum RM1,000

“Adalah diharapkan bayaran Bantuan Khas Kewangan ini akan meningkatkan semangat penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang lagi di tahun-tahun akan datang,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 Negeri Pulau Pinang pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada Jumaat.

Dalam masa sama, Kon Yeow berkata bonus RM300 juga akan diberikan kepada penyelia dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat dan staf Sekolah Persendirian Cina.

Guru Tahfiz, guru Pondok dan guru Tadika Islam (TADIS) pula akan menerima RM200 setiap seorang, katanya.

Beliau berkata, semua pembayaran yang melibatkan perbelanjaan tambahan sebanyak RM940,600 itu juga akan dibayar pada Disember ini.

Dalam masa sama, Kon Yeow menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua penjawat awam terutamanya petugas barisan hadapan yang menunjukkan prestasi membanggakan meskipun terpaksa bekerja di bawah tekanan dan cabaran semasa mendepani wabak COVID-19.

“Terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan semua agensi sama ada di peringkat Pusat mahupun negeri dalam usaha menangani wabak sehingga berjaya membawa Pulau Pinang memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.