KANGAR: Penjawat awam di Perlis perlu meningkatkan kompetensi digital dan bersedia menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus diperkasakan.
Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata perubahan landskap dunia yang bergerak pantas khususnya dalam bidang teknologi digital dan AI memberi kesan kepada cara penjawat awam bekerja dan membuat keputusan serta menyampaikan perkhidmatan.
"Justeru, sektor awam tidak boleh berada di zon selesa. Kita perlu meningkatkan kompetensi digital, membangunkan kepimpinan yang dinamik serta bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis serta melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri 2026 di sini semalam.
Abu Bakar turut menyeru seluruh warga perkhidmatan awam Perlis menjadi pemangkin utama dalam menjayakan inisiatif “Gelombang Aku Kasih Malaysia” yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata penjawat awam bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan dasar kerajaan tetapi juga perlu menjadi contoh dalam menghayati nilai patriotisme, integriti dan amanah dalam perkhidmatan.
“Inisiatif ini bukan sekadar sebuah kempen tetapi juga satu usaha untuk membugar kembali nilai patriotisme, memperkukuh jati diri serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara,” katanya.
-- BERNAMA