PUTRAJAYA: Seorang penjual kasut terpakai dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini daripada pertuduhan melakukan samun berkumpulan di sebuah premis perniagaan dobi layan diri pada 2017.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk M. Gunalan dan Datuk S.M. Komathy Suppiah membenarkan rayuan Nur Mohd Rusydi Abdul Raman pada Selasa (25 Julai) untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen ke atas perayu.

Vazeer berkata terdapat merit dalam rayuan Nur Mohd Rusydi.

Beliau berkata semasa memikirkan fakta dan keadaan kes, sabitan Nur Mohd Rusydi berdasarkan pengecaman di dalam mahkamah, adalah tidak selamat.

Beliau berkata Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi terkilaf ketika mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Pada 3 Jan 2020, Mahkamah Sesyen mendapati Nur Mohd Rusydi bersalah terhadap pertuduhan itu dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun penjara dan dua sebatan.

Dia kemudian merayu di Mahkamah Tinggi terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya tetapi rayuannya ditolak pada Mei 2021.

Nur Muhd Rusydi, 31 dituduh melakukan samun dengan sebilah parang dan merompak gelang tangan dan rantai emas serta wang tunai RM1,500 daripada Badariyah Baharuddin di sebuah premis dobi layan diri 24 jam di Taman Sri Gombak pada pukul 11.32 malam, 1 Sept 2017.

Sementara itu, individu lain Mohd Adib Yoosna yang dituduh secara berasingan tetapi dibicarakan bersama-sama Nur Mohd Rusydi didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di atas kesalahan sama dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan. Dia tidak merayu terhadap hukuman itu.

Berita mengenai rompakan itu tular di halaman Facebook "Info Roadblock JPJ/Polis," "Tanjong Karang," dan "Vat 69-Perjuangan" pada 2017.

Nur Mohd Rusydi diwakili Peguam Izleen Ismail dan Jeffrey John daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan sementara Timbalan Pendakwa Raya P. Sarulatha mewakili pihak pendakwaan.

-- BERNAMA