KUALA KUMPUR: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) sedang melalui proses penstrukturan dan penambahbaikan tatakelola yang dijangka selesai sepenuhnya menjelang pertengahan atau akhir Mac ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan.
Beliau berkata langkah berkenaan bertujuan menaik taraf operasi agensi itu bagi mengelakkan sebarang isu berbangkit pada masa hadapan, dan bukannya satu proses 'pembersihan' seperti didakwa sesetengah pihak.
Advertisement
Mengulas berhubung status penggantungan pegawai di agensi tersebut, Ramanan meminta semua pihak agar memberi ruang kepada proses siasatan untuk diselesaikan terlebih dahulu.
"Kami sedang melaksanakan penambahbaikan dengan memastikan semua peralatan dan sistem diperlukan disediakan dengan sempurna supaya tiadak ada apa-apa masalah akan berlaku selepas ini,β katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Pusat Eksplorasi Kerjaya MyFutureJobs (MYCEC) pertama di Malaysia, di sini hari ini.
Pada Sabtu lepas, HRD Corp telah menggantung tugas tiga lagi anggota pengurusannya sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan disiplin institusi dan memelihara keyakinan industri.
Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shamir Aziz dalam kenyataan berkata langkah itu menunjukkan komitmen organisasi berkenaan untuk meningkatkan piawaian tadbir urus dan memastikan sumber pembangunan tenaga kerja negara ditadbir dengan telus, cekap dan berakauntabiliti.
Ramanan berkata penukaran dan perubahan yang dilaksanakan juga adalah untuk membeulkan pelbagai kelemahan yang pernah dibangkitkan sebelum ini, sebagaimana dilaporkan menerusi kajian Jabatan Audit Negara berhubung pertikaian mengenai agensi itu.
Mengenai pelantikan jawatan penting dalam HRD Corp, Ramanan berkata pihaknya sentiasa mengutamakan golongan profesional dan berkredibiliti serta menegaskan bahawa tiada lantikan politik dibuat setakat ini.
"Setakat ini, lantikan yang telah dibuat adalah bekas CEO (ketua pegawai eksekutif) syarikat suruhanjaya GLC dan keduanya pula adalah bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan. Golongan seperti itu yang akan kita lantik untuk mengisi jawatan berkenaan,β katanya.
-- BERNAMA
TAG: HRD Corp, tatakelola, R Ramanan