Skip to main content

Malaysia

Pentarama Merdeka @HoHo: Lebih 4,000 pengunjung semarakkan sambutan Hari Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 Sept - Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Erwin Khairul Ahmad bersama rakyat mengibarkan bendera Jalur Gemilang kepada pengunjung di perkarangan Pavilion Bukit Bintang sempena Program Pentarama HOHO 2026 di sekitar Kuala Lumpur hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Erwin bersama rakyat mengibarkan bendera Jalur Gemilang kepada pengunjung di perkarangan Pavilion Bukit Bintang sempena Program Pentarama HOHO 2026 di sekitar Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tiga lokasi tumpuan di sekitar ibu negara hari ini dimeriahkan dengan alunan lagu patriotik menerusi Program Pentarama Merdeka@HoHo yang diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.

Tiga lokasi tumpuan tersebut ialah Dataran Merdeka, Sungei Wang Plaza dan Pavilion Bukit Bintang, yang masing-masing meriah dengan kehadiran lebih 4,000 pengunjung tempatan serta pelancong asing dan disajikan dengan persembahan bertenaga daripada artis budaya dan pemuzik Pentarama dari atas bas dua tingkat KL Hop-On Hop-Off (KL HOHO).

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Erwin Khairul Ahmad berkata penganjuran program berkenaan merupakan pendekatan untuk mendekati rakyat secara langsung, sekali gus menyampaikan mesej patriotisme, kebersamaan dan perpaduan kepada masyarakat.

"Ini adalah satu program yang bukan berbentuk seremonial, tetapi kita nak menyampaikan hasrat dan dasar kerajaan kepada masyarakat bahawa semangat patriotik perlu disematkan ke dalam dada rakyat Malaysia dalam keadaan apa pun,” katanya di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Pentarama Merdeka@HoHo di Pavilion Bukit Bintang, di sini.

Erwin Khairul berkata pendekatan itu terbukti mendapat sambutan di luar jangkaan apabila orang awam secara spontan menyertai aktiviti yang dijalankan dan serta bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement