KUALA TERENGGANU: Selepas penduduk di Kampung Air Putih di Kemaman mendakwa haiwan ternakan mereka terancam kerana diserang harimau sejak Disember lepas, kini penternak lembu di Kampung Chabang, Kerteh pula dilanda kebimbangan sama.

Seorang penternak, Ramli Mohamad, 62, berkata seekor daripada 25 lembunya ditemukan mati dipercayai dibaham harimau Jumaat lepas.

"Saya hanya menyedari perkara itu apabila pergi ke kebun untuk memberi lembu makan, namun pelik kerana seekor lembu betina berusia lebih setahun tiada di situ.

"Saya cari lembu itu di sekeliling kebun, kemudian saya jumpa bangkai lembu di kawasan alur sungai, dan yang paling mengejutkan kepalanya terpisah dari badan. Saya syak ini adalah serangan harimau kerana ada kesan koyakan di rahang lembu itu," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.


Serangan Harimau | Penduduk dakwa ternakan dibaham

Ramli berkata beliau turut menemui beberapa kesan tapak kaki, dipercayai harimau yang menyerang lembu itu di kebunnya dan telah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.

Sementara itu Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata anggota Perhilitan memantau kawasan selepas menerima laporan mengenai perkara itu.

Empat hari lepas Perhilitan Terengganu telah memasang dua perangkap di Kampung Air Putih untuk menangkap harimau yang dipercayai berkeliaran di sekitar kawasan ladang sawit dan membaham beberapa ternakan penduduk kampung berhampiran.

BACA: Serangan harimau: Polis Kelantan mohon bantuan PGA

BACA: Serangan harimau: Perhilitan Terengganu pasang dua perangkap

Serangan harimau terhadap haiwan ternakan sebelum ini sering berlaku di sekitar Felda Kerteh 3 dan Kerteh 4 di daerah Dungun bermula sejak 2019.

Pada Februari tahun lepas, seekor harimau belang jantan yang dinamakan 'Awang Rasau' berjaya ditangkap Perhilitan di Felda Kerteh 3, diikuti seekor lagi harimau belang 'Atan Kerteh' yang masuk ke perangkap di Kerteh 4 pada Ogos tahun lepas, namun dipercayai masih ada kumpulan haiwan itu di sekitar hutan berhampiran.

-- BERNAMA