RAWANG: Seorang penunggang motosikal berusia 24 tahun maut dihempap pokok tumbang di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Taman Templer di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian jam 8.40 malam itu, pokok berkenaan turut menghempap sebuah kereta, namun pemandunya terselamat.

"Ketika melalui jalan tersebut secara tiba-tiba sebatang pokok yang berada di bahu jalan telah tumbang disebabkan hujan lebat serta angin kuat lalu menghempap motosikal ditunggang lelaki terbabit dan sebuah kereta yang sedang bergerak.

"Akibat kemalangan ini, penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan pada malam Rabu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau berkata, orang awam yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.