SUNGAI PETANI: Seorang pemandu kren maut apabila motosikal yang ditunggang melanggar seekor lembu di Kilometer 91.1 Lebih Raya Utara Selatan, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9 malam itu mangsa, Qhairul Idham Baharuddin, 27, sedang dalam perjalanan dari tempat kerja ke rumahnya di Taman Gurun Jaya.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman @Abdul Rahim, mangsa dikatakan tidak nampak tiga ekor lembu yang sedang melintas di atas lebuh raya itu lalu melanggar salah seekor daripadanya.

Akibat pelanggaran itu motosikal jenis Benneli ditunggangi mangsa terpelanting ke sebelah kiri bahu jalan.

Tidak lama selepas itu sebuah kereta yang berada di belakang motosikal mangsa turut melanggar lembu terbabit.

Kesan pelanggaran itu kereta yang dinaiki Rohisham Rosli dan isterinya remuk di bahagian hadapan namun pasangan itu hanya mengalami cedera ringan.

Anuar turut mengesahkan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan badan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) yang tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HSAH untuk bedah siasat.