SEREMBAN: Penuntut Malaysia, Muhammad Hafidz Abdullah, yang meninggal dunia selepas rebah ketika bermain bola sepak di Sheffield, United Kingdom (UK) pada 8 April lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, di sini, malam tadi.

Jenazah Allahyarham yang berusia 36 tahun itu disemadikan kira-kira jam 10 malam dengan pengebumian itu dihadiri isterinya, Nazihawati Mohiddin dan dua anaknya serta lebih 50 ahli keluarga dan sahabat terdekat.

Terdahulu, jenazah Muhammad Hafidz tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5.30 petang Selasa dan dibawa ke Masjid Negeri, di sini, untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Senawang.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Abdullah Kassim, 65, ketika ditemui menyifatkan, arwah merupakan seorang anak yang sangat baik dan tidak pernah lupa untuk menghubunginya bagi bertanya khabar setiap hari.

Menurut Abdullah, dia sememangnya terkejut apabila dimaklumkan anaknya rebah sebelum meninggal dunia memandangkan dia tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit kronik.

“Kami ada merancang nak menziarahi dia di UK (selepas Allahyarham rebah dan dimasukkan ke hospital). Tetapi bila dapat berita daripada menantu memaklumkan keadaan kesihatan dia semakin tak elok, jadi kami tangguhkan dulu.

“Tak sangka dia akan pergi secepat itu,” katanya.

BACA: Penuntut Malaysia di UK meninggal dunia selepas rebah di padang bola

Dalam sebak ujarnya, kali terakhir dia bersemuka dengan anaknya adalah pada dua tahun lalu sebelum dia menyambung pengajian di England.

Bagaimanapun ujarnya, dia reda dan bersyukur jenazah anak kesayangannya itu selamat disemadikan di kampung halaman isterinya di Seremban.

Terdahulu, Muhammad Hafidz, penuntut tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang merupakan kakitangan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia meninggal dunia di Northern General Hospital di Sheffield, UK selepas rebah ketika bermain bola sepak di Pusat Sukan Goodwin di Sheffield.

Allahyarham kemudian terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia pada Jumaat.

Allahyarham merupakan pelajar tahun kedua pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di University of Sheffield.