MALAYSIA
Penyakit jantung masih jadi ancaman utama di Malaysia - Dr Ismuni

Dr Ismuni berkata, diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan tekanan berpanjangan ialah penyumbang utama kepada penyakit jantung. - Gambar Bernama
LABUAN: Penyakit jantung kekal sebagai ancaman serius di negara ini kerana penyakit itu masih menjadi punca utama kematian yang boleh dicegah, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Ismuni Bohari.
Beliau berkata, statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2024 menunjukkan penyakit jantung iskemik merupakan penyebab kedua tertinggi dalam kematian yang disahkan secara perubatan, iaitu sebanyak 15.1 peratus dan menjadi punca utama kematian dalam kalangan individu berusia 41 hingga 59 tahun, manakala lelaki lebih terjejas berbanding wanita.
"Trend ini membimbangkan kerana bukan hanya menjejaskan kesihatan, tetapi juga memberikan impak kepada ekonomi negara," katanya pada program Hari Jantung Sedunia, di sini, pada Ahad.
Dr Ismuni berkata, diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan tekanan berpanjangan ialah penyumbang utama kepada penyakit jantung selain faktor merokok, obesiti, gaya hidup tidak aktif dan tabiat pemakanan tidak sihat.Beliau berkata, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 melaporkan, 15.6 peratus dewasa menghidap diabetes, hipertensi (29.2 peratus), kolesterol tinggi (33.3 peratus), obesiti (21.8 peratus) dan merokok (19 peratus).
"Setakat Ogos lepas, Labuan merekodkan 93 kes kardiovaskular baharu dan 1,388 pesakit sedang menerima rawatan penyakit jantung.
"Angka ini adalah amaran untuk kita mengambil langkah pencegahan sebelum terlambat," katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat, menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dan menyertai aktiviti kesedaran.
Dr Ismuni berkata, sebanyak 3,877 penduduk di Labuan telah melakukan pemeriksaan kesihatan setakat bulan lepas.
"Hari Jantung Sedunia tahun ini bertemakan Don't Miss a Beat, menyeru rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan tabiat pemakanan lebih sihat demi melindungi jantung mereka," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami