KUALA LUMPUR: Penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Apo Kono Eh Jang', Mastura Ismail, 65, meninggal dunia di kediamannya di Taman Cheras Idaman, Cheras, malam ini.

Berita itu dikongsikan Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah dalam satu kenyataan media, di sini, malam ini.

“Dukacita dimaklumkan bahawa seorang lagi permata seni hiburan tanah air Mastura Ismail yang terkenal dengan lagu 'Apo Kono Eh Jang' telah kembali ke rahmatullah pada jam 8.50 malam tadi di kediaman beliau di Cheras.

“Allahyarham dilahirkan pada 16 April 1957 di Tanjung Kerayong Mentakab Pahang. Beliau meninggal dunia pada usia 65 tahun,” katanya.

 Hafiz berkata, jenazah Allahyarham kini ditempatkan di kediamannya.

“Jenazah Allahyarham kini berada di rumahnya di Taman Cheras Idaman dan akan dimandikan serta dikafankan di Masjid Taman Rakan Cheras sebelum dikebumikan di tanah Perkuburan Sungai Long sebelum Zohor esok," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, seluruh kepimpinan tertinggi dan barisan Exco Seniman Malaysia mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham dan berharap mereka tabah menghadapi ujian ini.