MERSING: Identiti empat warga asing yang hilang ketika melakukan latihan menyelam di Pulau Tokong Sanggol, di sini semalam, telah dikenal pasti.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penyelam yang hilang merupakan lelaki warga Britain, Adrian Peter, 46 tahun, dan anaknya Nathan Renze, 14 tahun, warga Belanda.

Dua lagi ialah wanita warga Perancis, Alexia Alexandra, 18 tahun, dan wanita yang juga jurulatih penyelam atau dive master, Kristine Grodem, 35 tahun, dari Norway.

Onn Hafiz berkata, kesemua penyelam mempunyai lesen menyelam dan berpengalaman.

"Seorang ialah jurulatih manakala tiga yang lain adalah pelatih. Tetapi pelatih ini bukan penyelam kali pertama.

"Mereka agak berpengalaman, cuma mereka hendak menaik taraf sijil. Hubungan dua orang ini adalah anak dan bapa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) di Pengkalan Hadapan Carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria.

BACA: Penyelam hilang di Mersing: Kerajaan Johor maklum perkembangan kepada kedutaan 

BACA: Penyelam hilang di Mersing: Polis tahan tekong bot, positif dadah 

Op Carilamat yang bersambung pada jam 7 pagi tadi melibatkan 90 anggota dan pegawai pelbagai agensi, termasuk 30 penyelam dan 18 aset.

Onn Hafiz turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di atas kurniaan baginda meminjamkan dua bot milik baginda untuk Op Carilamat.