JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan mempersembahkan hasil dapatan dan perbincangan berhubung penyelarasan semula cuti hujung minggu bagi negeri itu, kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan cuti hujung minggu negeri ini sama ada kekal atau ditukar akan membabitkan 576,691 pelajar dan 1.764 juta tenaga kerja di Johor.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 93 peratus tenaga kerja yang terbabit adalah pekerja swasta.

"Saya mempengerusikan mesyuarat ketiga kerajaan negeri yang membincangkan penyelarasan semula cuti hujung minggu bagi Johor.

"Hasil dapatan dan perbincangan ini akan disembah untuk mendapatkan pandangan dan perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

"Antara yang hadir pada mesyuarat ini adalah wakil sektor kerajaan, swasta, pendidikan, pemain industri termasuk perbankan dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

"Antara yang menjadi perhatian utama adalah perbezaan cuti antara ibu bapa dan anak-anak yang menyebabkan mereka sukar untuk meluangkan masa bersama," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Jelas Onn Hafiz, apa sahaja yang diputuskan, tahap pendigitalan di negeri ini akan terus diperhebatkan.

Katanya, negeri yang boleh beroperasi secara digital akan lebih memudahkan urusan rakyat dan ekonomi tanpa mengira hari cuti minggu.

"Peningkatan digital ini sahaja sudah boleh menyumbang kepada kesejahteraan Bangsa Johor, tanpa perlu ke kaunter fizikal," kata beliau lagi.

Semalam, satu petikan nota ringkas berhubung kononnya kerajaan Johor akan mengumumkan pertukaran cuti hujung minggunya kepada Sabtu dan Ahad yang berkuat kuasa November ini, tular di media sosial.

Pada 14 Jun lalu, kerajaan Johor dilaporkan akan mengkaji semula cuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu di negeri ini berikutan banyak keluhan disuarakan rakyat negeri ini.

Sementara, pada 26 Jun lalu pula, kerajaan Johor dilaporkan masih belum membuat keputusan mengenai pelaksanaan cuti hujung minggu negeri ini yang ketika ini ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu.