KOTA BHARU: Anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta dipercayai milik penyeludup mercun selepas pemandunya cuba merempuh anggota polis dalam satu kejadian di Kampung Peringat, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata ketika kejadian, sebuah kereta peronda polis telah terserempak dengan kereta jenis Honda Accord di pekan Pasir Mas dalam keadaan mencurigakan pada 7.05 pagi.

Beliau berkata menyedari kehadiran polis, pemandu kereta tersebut terus memecut laju melarikan diri ke arah Lemal.

"Dalam masa yang sama, sebuah lagi kenderaan peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas telah tiba di Bulatan Lemal dan turut sama mengejar kereta suspek melalui Jambatan Salor menuju ke Kota Bharu.

"Kereta suspek kemudiannya bergerak ke arah Jalan Aur Duri, Ketereh hingga ke kawasan kampung di Peringat dan kereta suspek tersekat di jalan mati," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shafien berkata ketika itu, anggota peronda berhenti di belakang kereta suspek dan terus keluar menghala ke arah sisi kenderaan dan mengarahkan suspek supaya keluar.

Katanya, suspek enggan keluar dan cuba merempuh anggota menyebabkan anggota peronda itu terpaksa melepaskan tembakan ke arah kenderaan suspek supaya memberhentikan kenderaan.

"Suspek kemudian bertindak agresif dengan memusingkan kenderaan dan berjaya lolos. Anggota peronda cuba menjejaki semula suspek tetapi gagal sehingga sampai ke kawasan Kampung Seterpa...ada penduduk kampung menunjukkan arah kereta suspek masuk menghala ke kawasan Perkuburan Kuin, Peringat.

"Setibanya anggota polis di lokasi tersebut didapati kereta milik suspek ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan pintu masih terbuka dan suspek disyaki telah melarikan diri," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas kereta tersebut didapati di bahagian tempat duduk penumpang belakang dan juga but dipenuhi dengan kotak-kotak yang berisi dengan pelbagai jenis mercun.

Beliau berkata semakan ke atas kereta tersebut juga mendapati tiada sebarang rekod kehilangan dan usaha mengesan dan menahan suspek giat dijalankan.

"Polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

-- BERNAMA