KUALA LUMPUR: Penyempurnaan projek-projek penambahbaikan infrastruktur haji oleh pihak kerajaan Arab Saudi diharapkan dalam menambah bilangan kuota haji bagi Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, penambahan kuota itu dijangka boleh direalisasikan apabila kapasiti Arafah, Muzdalifah dan Mina untuk menampung bilangan jemaah dapat ditingkatkan.
"Pendeposit Tabung Haji (TH) lebih kurang 9.7 juta. Jutaan yang menunggu panggilan haji dan setiap tahun kita ada 31,600 kuota haji. Perayu pula lebih 80,000 setiap tahun. Kita terus memperkemaskan sistem ini.
“Namun begitu, kita hendak beritahu perkara yang positif. Kerajaan Arab Saudi sekarang sedang memenuhi Visi 2030. Sekiranya semua infrastruktur dan kemudahan sudah siap, sudah pasti bilangan jemaah haji akan meningkat dan kuota kita akan bertambah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Malaysia terus mengukuhkan reputasinya sebagai penanda aras pengurusan haji dunia apabila TH berjaya mengekalkan Anugerah Labaytum Diamond buat kali kedua pada musim haji 1447H/2026M, yang dianugerahlan pada 30 Mei lalu.
Ia merupakan pengiktirafan tertinggi yang diberikan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada institusi pengurusan haji terbaik dunia.
TH pada masa sama turut mempertahankan Anugerah Labaytum buat kali kelima berturut-turut.
Agenda AWANI: Transformasi pengurusan Islam | Dari lokal ke global