Skip to main content

Malaysia

Penyertaan Gendang 24 Perayaan meningkat, 14,399 pelajar direkodkan - Wong

ISKANDAR PUTERI, 12 Sept - Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh (tengah) bersama Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri Liew Chin Tong (kanan) mengetuk gendang sebagai gimik perasmian Pertandingan Elit Gendang 24 Perayaan Tahun 2026 Peringkat Kebangsaan di Educity Sports Complex, di sini hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Wong (tengah) bersama Liew (kanan) mengetuk gendang sebagai gimik perasmian Pertandingan Elit Gendang 24 Perayaan Tahun 2026 Peringkat Kebangsaan di Educity Sports Complex, pada Sabtu. - Foto BERNAMA
Advertisement

ISKANDAR PUTERI: Penyertaan pelajar dalam Gendang 24 Perayaan terus meningkat dengan 14,399 peserta direkodkan setakat 2025, manakala 352 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) kini mempunyai kelab berkenaan.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata perkembangan itu mencerminkan penerimaan yang semakin meluas terhadap persembahan Gendang 24 Perayaan yang diasaskan di Johor Bahru pada 1988, bukan sahaja dari segi penyertaan malah kualiti persembahan.

Beliau berkata sejak diperkenalkan 38 tahun lepas, seramai 68,781 individu telah menyertai Gendang 24 Perayaan, termasuk mereka yang terlibat dalam aktiviti berkenaan di luar konteks pertandingan.

"Ini menunjukkan bahawa dengan usaha daripada semua pihak, persembahan ini telah berkembang dengan begitu pesat. Warisan ini adalah milik masyarakat Malaysia.

"Gendang 24 Perayaan bukan berasal dari China seperti yang sering dianggap sesetengah pihak, sebaliknya diasaskan di Johor Bahru, Johor pada 1988 oleh Tan Chai Puan bersama mendiang Tan Hooi Song dan sejak itu, Gendang 24 Perayaan berkembang ke seluruh negara dan turut dipersembahkan di peringkat antarabangsa dalam pelbagai acara serta program penting," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pertandingan Elit Gendang 24 Perayaan Tahun 2026 Peringkat Kebangsaan di Kompleks Sukan Educity, di sini, malam tadi.

Turut hadir Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong.

Mengenai pertandingan itu, Wong berkata edisi tahun ini melibatkan enam zon iaitu Utara, Sabah, Selatan, Tengah, Pantai Timur dan Sarawak dengan penyertaan 46 pasukan membabitkan 1,220 peserta.

Beliau berkata 10 pasukan terbaik terdiri daripada juara dan naib juara setiap zon dipilih untuk berentap pada peringkat elit kebangsaan malam tadi.

Wong berkata peningkatan penyertaan turut memperlihatkan Gendang 24 Perayaan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, meskipun majoriti pasukan yang mengambil bahagian masih terdiri daripada masyarakat Cina.

Sebagai contoh, katanya lebih 70 peratus pemain pasukan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) St. Anthony yang menyertai pertandingan zon Sarawak terdiri daripada masyarakat Melayu dan Iban.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement