KUALA LUMPUR: Inisiatif Wanita Bangkit Berniaga (WBB) yang diperkenalkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima jumlah penyertaan melebihi sasaran.

Menurut menterinya, Datuk Seri Rina Harun, sejak dilancarkan WBB telah menerima lebih 5,000 penyertaan berbanding sasaran awal 2,000.

Katanya inisiatif itu diperkenalkan selepas beliau turun padang menghantar bakul makanan bagi menyelami masalah rakyat terutama golongan wanita dan mendapati terdapat 1.2 juta ketua isi rumah wanita yang terpaksa memikul tanggungjawab menyara keluarga.

"Kita bukan sekadar beri bantuan kewangan (melalui Jabatan Kebajikan Masyarakt) tetapi juga memikirkan bagaimana untuk mereka hidup berdikari.

"Ada wanita yang terpaksa berhenti kerja sebab mak sakit dan tiada orang jaga, ada yang berhenti kerja duduk rumah besar tapi jangan lihat dari segi luaran sahaja rupanya penghuni dalam itu diberhentikan kerja, malah ada yang kemurungan," katanya kepada Astro AWANI.

Mengulas lanjut, Rina berkata, bagi menjayakan inisiatif itu, sinergi dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan pemain-pemain industri telah diadakan untuk membantu wanita bangkit serta menjana pendapatan dalam memulihkan ekonomi mereka sekeluarga.

"Dengan menggunakan aspirasi Keluarga Malaysia inilah kementerian bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam merencana pelan tindakan supaya matlamat program akan sampai pada akar umbi iaitu golongan wanita yang memerlukan," katanya lagi.

Wanita Bangkit Berniaga dilaksanakan khusus untuk wanita yang terkesan terutama dari segi menjana pendapatan akibat pandemik COVID-19.

Ia merupakan kolaborasi strategik RichWorks International bersama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) bagi menyediakan peluang kepada wanita memulakan perniagaan dan diberi bimbingan dalam perniagaan sekali gus membantu mereka yang terjejas untuk menambah sumber pendapatan.

Peserta juga boleh memilih produk atau perkhidmatan yang ditawarkan pemilik dan pengasas perniagaan yang terlibat nanti.