MALAYSIA
Penyertaan wanita dalam tenaga kerja kini 56 peratus - Nancy

Nancy (dua, kiri) merasmikan Forum Agenda Wanita Negara 2025, pada Selasa. Turut sama, Noraini (kiri). --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja negara kini mencecah 56 peratus, dengan kerajaan menyasarkan jumlah itu akan meningkat 60 peratus menjelang 2030, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri.
Nancy berkata sasaran itu bukan hanya memerlukan usaha oleh kementerian semata-mata sebaliknya komitmen semua pihak termasuk kerajaan negeri.
"KPWKM telah memainkan peranan melalui inisiatif tertentu seperti penyediaan subsidi taska bagi menggalakkan lebih ramai wanita bekerja," katanya kepada media selepas merasmikan Forum Agenda Wanita Negara (FAWN) 2025 serta melancarkan buku 30 Tahun Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) di sini semalam.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri KPWKM Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Hanani Sapi.Pada masa sama, beliau berkata penguatkuasaan penuh Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) sejak 8 Mac lepas telah memberi jaminan keselamatan kepada wanita untuk berada di alam pekerjaan.
"Melalui penubuhan Tribunal Antigangguan Seksual (TAGS), sebanyak 22 daripada 45 kes yang difailkan berjaya diselesaikan dengan keadilan dalam tempoh 60 hari," katanya.
Terdahulu, Nancy dalam ucapannya turut menyenaraikan beberapa pencapaian utama Malaysia sepanjang tiga dekad sebagai Negara Pihak CEDAW, antaranya pindaan Akta Kerja 1955 (Akta 265) yang memperkukuh hak pekerja wanita dan pelantikan "Gender Focal Point" (GFP) dan "Gender Focal Team" (GFT) di setiap kementerian dan agensi.
Perkara itu dilaksanakan bagi mengarusperdanakan gender, selain pelaksanaan dasar sementara yang menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan
Selain itu, beliau berkata wanita Malaysia juga telah mencapai tahap kesaksamaan dalam bidang pendidikan apabila Sub-Indeks Pencapaian Pendidikan melepasi skor 1 dengan catatan 1.071 pada 2023, sekali gus membuka ruang kepada penyertaan lebih besar dalam sektor pekerjaan.
Nancy berkata FAWN 2025 juga berperanan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap Dasar Wanita Negara (DWN) selain menjadi platform perkongsian idea bagi memperkukuh hak dan peranan wanita di Malaysia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami