IPOH: Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri untuk mempercepatkan proses pengambilan pekerja asing bagi sektor perniagaan barangan lusuh.

"Sejak 10 tahun lepas, kuota untuk pekerja asing dalam sektor barangan lusuh dibekukan. Jadi, mereka perlu mengecilkan perniagaan.

"Saya akan berjumpa menteri terlibat dan beri nafas baharu kepada peniaga-peniaga ini," kata Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak A. Sivanesan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program derma darah dan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ketujuh Persatuan Peniaga Barang Terpakai di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan negeri memberi kebenaran kepada pemegang lesen barang-barang lusuh sama ada sedia ada atau baharu untuk meneruskan perniagaan.

"Hal ini kerana terdapat aduan mengenai pembatalan pemberian kelulusan lesen barang-barang lusuh kepada peniaga sejak 10 tahun lepas.

"Kerajaan perlu benarkan mereka meneruskan perniagaan dan mengambil tindakan jika melanggari undang-undang dan bukan dengan membatalkan permohonan," katanya.

Beliau berkata setakat ini terdapat kira-kira 280 peniaga barangan lusuh yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di negeri ini namun tidak memperoleh lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana masalah pembatalan itu.

Beliau berkata pembatalan tersebut berlaku susulan makluman daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung pembelian barangan yang dicuri oleh peniaga pada 2013 dan pihak polis telah menasihati kerajaan negeri untuk membekukan lesen perniagaan yang dikeluarkan PBT.

-- BERNAMA