IPOH: Kerajaan Perak akan memberi fokus membangunkan liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di tiga kawasan perindustrian, kata Pengerusi Jawatankuasa Multimedia, Komunikasi dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi.

Beliau berkata, kawasan terbabit melibatkan Proton City di Tanjung Malim, projek kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian dan Silver Valley di Gopeng.

Menurut Mohd Azlan, beliau akan berkunjung ke Proton City menerusi program Jelajah Komunikasi, Isnin ini dan berbincang dengan pihak Digital Nasional Bhd (DNB) bagi memaklumkan perancangan kerajaan negeri itu.

"Kita nak minta DNB untuk tumpu kepada tiga kawasan perindustrian itu kerana ini adalah impak yang tinggi untuk kerajaan negeri.

"Saya nak kita (Kerajaan Perak) bersiap sedia lebih awal, itu antara inti pati yang kita akan bincang dengan DNB," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Combat Archery Kelab Sukan dan Kebajikan Kakitangan Jabatan Penerangan (JaPen) Perak 2024, di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkaitan perkembangan liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di negeri ini.

Mohd Azlan turut memaklumkan, sasaran bagi pembangunan liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di tiga kawasan berkenaan bergantung kepada perbincangan bersama DNB itu.

"Kita tahu DNB, bajet dan kuota ditetapkan di peringkat Persekutuan, namun pertemuan Isnin ini kita tegas minta dipercepat (maklumat berkaitan pembangunan liputan rangkaian 5G) kalau boleh dan kita nak tahu berapa kuota, peruntukan untuk Perak," katanya.

Sementara itu, Pengarah JaPen Perak, Yosri Abu Mahsin berkata, program hari ini yang membabitkan 90 peserta terdiri daripada kakitangan jabatan itu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan RTM bertujuan mengeratkan silaturahim antara jabatan serta agensi di bawah Kementerian Komunikasi di negeri ini. - BERNAMA